BERGERAK YANG MEMBATALKAN SOLAT
Oleh
Dr. Zaharuddin Abdul Rahman
Tidak
semua jenis pergerakan membatalkan solat, namun yang pasti adalah
mengurangkan pergerakan yang tidak berkaitan dengan solat adalah cara
terbaik bagi menyempurnakannya. Pun begitu, bagaimanakah erti bergerak
yang membatalkan solat di dalam mazhab Syafie? Tulisan ini menjelaskan
dengan ringkas.
Tamakninah
adalah salah satu rukun dalam solat menurut beberapa mazhab dan mazhab
Syafie adalah antara yang berijtihad menyatakan solat boleh batal jika
bergerak besar berturut-turut melebihi tiga kali gerakan. Ini
berdasarkan dalil perlunya tamakninah. Tiada dalil khusus berkenaan hal
ini kecuali dalil umum iaitu keperluan untuk menyempurnakan tamakninah
yang disebut oleh Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam kpeada seorang lelaki
yang disuruh ulangi solatnya kerana tidak betul:
فَارْجِعْ
فَصَلِّ فَإِنَّكَ لَمْ تُصَلِّ ……ثُمَّ ارْكَعْ حَتَّى تَطْمَئِنَّ
رَاكِعًا ثُمَّ ارْفَعْ حَتَّى تَسْتَوِيَ قَائِمًا ثُمَّ اسْجُدْ حَتَّى
تَطْمَئِنَّ سَاجِدًا
Maksudnya: “
ulangi solatmu dan solatlah sessunghuhnya engkau belum menyempurnakan
solatmu……kemudian hendaklah kamu rukuk dan sehingga berhenti sekejap
(tamakninah) dalam keadaan rukuk itu, dan kemudian bangun dan berdiri
tegak dan kemudian sujud sehingga berhenti sekejap (tamakninah) dalam
keadaan sujud.”
(Riwayat al-Bukhari)
Tamakninah
adalah rukun menurut tiga mazhab dan wajib dalam mazhab Hanafi. Hasil
dari itu, penyempurnaan tamakninah dilihat tidak mampu disempurnakan
kecuali dengan menahan diri dan pergerakn besar menurut mazhab Syafie.
Imam
An-Nawawi menjelaskan penentuan sesuatu pergerakan itu ‘Besar’ atau
‘Kecil’ mempunyai empat bentuk pandangan dalam mazhab seperti berikut:-
- KECIL : adalah yang tidak sampai tempoh pergerakan itu satu raka’at. BESAR: Jika melebihi, pastinya itu dikira besar dan membatalkan solat.
- KECIL : Setiap pergerakan yang tidak memerlukan dua belah tangan, seperti mengangkat serban, menyentuh untuk lantikan imam di hadapan, memegang kepala atau telinga, itu semua dianggap kecil. BESAR: Jika pergerakan itu memerlukan dua belah tangan seperti mengikat serban, memakai seluar atau kain, itu semua dikira besar.
- KECIL : pergerakan yang tidak membuat orang yang melihat bersangka si pelakunya di luar solat. BESAR : pergerakan yang menyebabkan orang melihat bersangka pelakunya di luar solat.
- KECIL : kembali kepada penentuan adat dan uruf setempat yang pada adatnya masyarakat anggapnya kecil. BESAR : juga berdasarkan adat. Imam An-Nawawi menyebut pandangan yang keempat ini yang paling sahih dan pandangan ulama Syafie yang teramai. Kata beliau
وهو الأصح وقول الأكثرين
Ertinya : ini yang paling sahih dan merupakan pendapat teramai.[1]
Kemudian,
Imam An-Nawawi jug menyimpulkan jika dua kali pergerakan besar ia masih
tidak membatalkan solat, jika tidak berturut-turut, itu juga tidak
membatalkan solat.
KESIMPULAN
Kesimpulannya,
saya cenderung kepada menyarankan agar memastikan tidak bergerak banyak
sama ada besar atau kecil adalah sifat solat sempurna. Namun jika
pergerakan kerana dharurat yang diterima oleh Islam seperti mengelak
bahaya, mengelak api dan sepertinya ia tidak membatalkan solat. Majoriti
mazhab lain seperti Hanbali dan Hanafi tidak ada kaedah yang menyatakan
pergerakan banyak akan membatalkan solat dan fatwa dan ijtihad mereka
tentunya tidak boleh diketepikan begitu sahaja, hasilnya saya suka
menasihatkan agar mengelakkan khilaf, dan jika berlaku pegerakan yang
banyak berturut-turut dan masih ada waktu untuk mengulangi solat,
sebaiknya solat dianggap batal dan diulangi.
Sekian
Dr. Zaharuddin Abd Rahman
Youtube channel : YouTube - VideoDigger.cc
BalasPadamWatch our YouTube channel. See videos related to YouTube channel on Videodl.cc. VideoDigger.org. Follow. YouTube channel. youtube mp3