“Tanya sama pokok apa sebab goyang,nanti jawab pokok angin yang goncang”
Pernah tak adik-adik dengar lagu ni? Bukan versi Hazama dan Meet Uncle Hussein tapi versi tradisional yang lama-lama dulu. Tapi kenyataannya betul kah hanya sebab angin yang goncang? Betullah tu, mari kita ingat siapa pulak yang cipta angin? Mestilah Allah kan, siapa lagi.
Tapi hari ini kita nak berkongsi fakta manarik bukan tentang angin, tetapi tentang pokok. Cuba adik-adik lihat sekeliling kita, ada banyak pohon-pohon menghijau. Kadang-kadang ada juga pokok yang mempunyai daun berwarna merah atau pun sedikit kekuningan. Pernahkah adik-adik tertanya-tanya apa yang menyebabkan daun-daun mempunyai warna yang berbeza?
Struktur daun
Untuk memahami rahsia warna daun, mari kita kenali struktur daun.Tahukah adik-adik bahawa semua benda hidup mempunyai struktur kecil yang membina struktur yang kita nampak?
Sebagai contoh, dinding yang kita nampak dibuat daripada blok-blok batu bata yang disusun secara sistematik, baju yang kita pakai dibuat daripada helaian-helaian benang yang disusun secara sistematik sehingga menjadi kain.
Begitu juga dengan daun, daun dan benda hidup lain dibuat daripada struktur kecil yang dipanggil sel. Sel-sel ini disusun secara sistematik dan teratur. Subhanallah, hebatkan ciptaan Allah? Allah menyuruh kita sebagai hambanya untuk sentiasa memerhatikan dan mempelajari ciptaanNya yang maha hebat, seperti firmannya dalam Al-Quran dalam surah ‘Abasa ayat 24 dan Surah Ar-Ra’ad ayat 3:
Maksudnya: “Maka hendaklah manusia itu memperhatikan makanannya”
Maksudnya: “Dan Dia lah yang menjadikan bumi terbentang luas, dan menjadikan padanya gunung-ganang (terdiri kukuh) serta sungai-sungai (yang mengalir). Dan dari tiap-tiap jenis buah-buahan, Ia jadikan padanya pasangan: dua-dua. Ia juga melindungi siang dengan malam silih berganti. Sesungguhnya semuanya itu mengandungi tanda-tanda kekuasaan Allah bagi kaum yang (mahu) berfikir.”
Seperti yang kita bincangkan tadi, daun dibuat daripada struktur kecil yang dipanggil sel. Sel adalah ‘batu-bata’ atau unit kecil yang membina struktur daun yang kita lihat tadi. Sel ini juga adalah kilang kecil yang menjalankan aktiviti menjana tenaga supaya pokok boleh membuat makanan dan terus hidup. Rahsia warna daun terletak pada 2 lokasi di dalam sel iaitu kloroplas dan sitoplasma.mesti adik-adik tertanya-tanya,apa nama pelik-pelik ini bukan?
Rahsia warna daun
Sebenarnya, batu-bata kecil ataupun sel tadi ada banyak komponen.Seperti sebuah kilang,ada komponen yang bertindak sebagai ‘ketua’ dan ada komponen yang bergerak sebagai ‘pekerja’. Adik-adik boleh anggap kloroplas dan sitoplasma sebagai pekerja di dalam kilang ini.
Cuba lihat gambar sel di sebelah ini,di situlah lokasi sitoplasma dan juga kloroplas! Sekarang bolehlah kita menjawab persoalan, mengapa daun ada macam-macam warna?
Di dalam ruangan kerja sitoplasma dan kloroplas,ada bahan yang kita panggil pigmen. Pigmen ini lah yang bertanggungjawab memberi warna kepada sesuatu bahan. Untuk pengetahuan adik-adik, pigmen juga boleh dijumpai dalam rambut dan kulit manusia! Walaupun kebanyakan daun berwarna hijau, sebenarnya ada lebih dari satu pigmen warna terkandung dalam daun tersebut. Contohnya, sehelai daun boleh mengandungi pigmen klorofil (menimbulkan warna hijau), pigmen karotenoid (menimbulkan warna jingga,kuning atau merah ) ataupun pigmen antosianin (menimbulkan warna merah atau biru).
Klorofil dan karotenoid boleh ditemui di dalam kloroplas manakala antosianin boleh ditemui di dalam sitoplasma. Walaupun ada banyak warna, hakikatnya kita tak nampak daun yang berwarna tompok-tompok hijau, merah, biru, kuning dan jingga sebab pigmen yang kuat (dominan) akan menutupi sifat pigmen yang lain. Contohnya sekiranya pigmen warna hijau lebih kuat daripada pigmen warna kuning dan merah, maka warna yang timbul pada daun tersebut ialah hijau! Siapa kuat dialah yang menang kan?
Ada apa lagi dengan pokok?
Sekarang adik-adik sudah memahami dan mengetahui reka bentuk canggih ciptaan Allah di dalam sehelai daun. Jangan lupa berkongsi dengan rakan-rakan. Mari kita sama-sama menjadi hamba Allah yang selalu memikirkan tentang kekuasaan-Nya walaupun ketika kita berbaring, barulah kita boleh jadi bangsa yang hebat dan mendapat reda Allah! Firman Allah dalam Al-Imran ayat 190-191.
Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal. (Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): “Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka.”
InsyaAllah pada masa akan datang kami akan kongsikan pula sains pokok tanpa daun. Apakah fungsi daun? Bolehkah pokok hidup tanpa daun-daunnya? Semua persoalan ini akan dijawab dalam post kami yang akan datang. Jangan lupa nantikan banyak lagi post menarik yang menyingkap rahsia sains ciptaan Allah, hanya di Innovologi Sains!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan