Isnin, 24 September 2012

Hikmah Pengharaman Babi dalam Islam


Semua orang tahu bahawa memakan babi adalah haram di dalam Islam. Tetapi tahukah kita semua apakah hikmah di sebalik pengharaman ini?
Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, dan darah, dan daging babi, dan binatang-binatang yang disembelih tidak kerana Allah, maka sesiapa terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang ia tidak mengingininya dan tidak pula melampaui batas (pada kadar benda yang dimakan itu), maka tidaklah ia berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (Al-Baqarah : 173)
Berdasarkan ayat ini, jelas ditunjukkan bahawa haram bagi seseorang Muslim untuk makan daging babi atau darahnya atau apa-apa yang datang daripada babi.
1. Pengharaman Darah dan Bangkai :
Adalah pengetahuan umum, darah adalah sejenis najis. Bangkai pula dikaitkan dengan kekotoran. Maka di dalam Islam, sesuatu yang bersifat najis atau kotor, akan membawa kepada kemudaratan kesihatan. Ini merupakan salah satu hikmah di sebalik pengharaman babi.
2. Pengharaman Daging Babi :

Babi atau nama lainnya Khinzir
Mungkin tidak ramai yang sedar, di dalam badan babi terdapat sejenis cacing pita yang di mana ianya tidak dapat dimatikan dengan proses pendidihan. (Seperti daging-daging lain, setelah direbus, cacing-cacing dan kuman yang terdapat dalam daging ini akan dapat dimatikan.) Oleh itu, mereka yang makan babi akan terdedah kepada kewujudan kuman-kuman ini di dalam badannya.
Menurut kajian saintifik pula, daging babi mengandungi kandungan kolesterol yang paling tinggi berbanding daging-daging haiwan lain. Selain itu, darah babi mengandungi kandungan asam urat* yang paling tinggi. Asam urat ini merbahaya kepada manusia kerana ia bakal menimbulkan pelbagai jenis penyakit kepada manusia. Untuk pengetahuan anda semua, babi mudah menghidap penyakit dan dikatakan minimum terdapat 70 jenis penyakit yang senang dihidapi babi. Dan di antara 70 ini, terdapat beberapa yang senang dijangkiti manusia.
Selain itu, kajian sains menunjukkan, pundi najis babi senang bocor. Apabila bocor, najis-najisnya akan merebak masuk ke daging. Ini akan menyebabkan daging babi tercemar dan sekaligus membahayakan pengguna daging babi ini.
3. Pengharaman makan haiwan tidak disembelih :

Islam menyarankan penyembelihan sesuatu haiwan sebelum dimakan
Islam menyarankan penyembelihan sesuatu haiwan sebelum dimakan.
Semua haiwan yang ingin dimakan haruslah disembelih menurut Islam. Hal ini adalah kerana, penyembelihan bertujuan menghilangkan darah-darah kotor yang terdapat di dalam badan haiwan itu. Kegagalan menyembelih urat nadi haiwan ini mengakibatkan darah bergumpalan di dalam badan haiwan itu. Setelah bergumpal, ianya akan mencemari daging haiwan itu dan ianya tidak lagi selamat untuk dimakan oleh orang ramai.
Leher merupakan bahagian penting dalam sembelihan kerana ia menempatkan dua urat penting dalam sembelihan: urat mari’ dan urat halkum yang merupakan salur makanan dan darah. Jika diperhatikan, babi merupakan haiwan yang tidak berleher, dan ini menyukarkan proses sembelihan yang bertujuan untuk menyucikan daging daripada darah tersebut. Oleh itu, ini mungkin juga merupakan hikmah pengharaman daging babi kerana dagingnya sukar dibersihkan walaupun kita cuba menyembelihnya terlebih dahulu.
4. Penggunaan Babi dalam industri hari ini :
Tidak dinafikan, darah dan kandungan lain babi banyak digunakan hari ini seperti dalam pembuatan makanan, ubat-ubatan, pakaian, rokok dan alat-alat kegunaan harian. Bahagian akhir ayat Al-Quran di atas menerangkan tidak berdosa menggunakan peralatan-peralatan ini SEKIRANYA tidak ada alternatif lain yang boleh mengganti alat tersebut. Selain itu, ianya hanya dibolehkan SEKIRANYA berada di dalam keadaan darurat seperti kecemasan dan sebagainya.
Namun, dunia sekarang sudah moden. Banyak kajian-kajian saintis yang telah menemui cara-cara alternatif bagi menggantikan penggunaan bahan-bahan daripada babi dalam kajian mereka. Oleh sebab itu, sudah tidak ada alasan lagi dalam menggunakan produk-produk daripada babi hari ini. WAllahualam.
*asam urat – sisa metabolisme zat-zat yang berasal daripada haiwan yang kita makan. Ia juga berasal daripada pemecahan sel-sel dalam darah yang terjadi secara normal ataupun akibat daripada kesan penyakit yang dihidapi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan